AGENDAJENAYAH

Enam lelaki tipu turap jalan dengan bayaran RM500 ditahan

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Enam lelaki dipercayai terbabit penipuan khidmat penurapan jalan di sekitar Ampang, di sini ditahan polis.

Lelaki berusia 20 hingga 44 tahun itu mengaku pekerja yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjalankan kerja penurapan jalan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata suspek menawarkan perkhidmatan penurapan jalan di hadapan rumah pada harga RM500, lapor Berita Harian.

“Polis menerima satu laporan dari mangsa 13 Julai lalu yang mendakwa ditipu kumpulan berkenaan. Mangsa yang percaya dengan tawaran kumpulan individu itu kemudian membayar wang pendahuluan RM200.

“Bagaimanapun, tiada penurapan jalan dilakukan kumpulan lelaki terbabit selepas bayaran dibuat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mohd Azam berkata, susulan laporan dibuat, sepasukan polis membuat serbuan di sekitar Ampang dan berjaya menahan enam lelaki kelmarin.

“Polis percaya ramai menjadi mangsa dan terpedaya dengan modus operandi suspek.

“Suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


Pengarang :