Ujian penerbangan dron di Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto Ihsan Unisel
AGENSISELANGOR

Pusat kecemerlangan dron Unisel jadi tumpuan syarikat ternama, lokasi uji kaji, latihan

KUALA SELANGOR, 16 JULAI: Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya di sini menjadi tumpuan beberapa syarikat ternama untuk menjalankan uji kaji dan latihan pesawat udara tanpa pemandu sejak dua tahun lalu.

Presiden dan naib canselornya berkata pusat ditubuhkan dengan kerjasama Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn Bhd (SELATI) menyediakan kemudahan pembangunan dan penyelidikan selain lokasinya yang strategik untuk penerbangan dron.

“Saya kira sudah sampai ke peringkat meyakinkan untuk (CoE) berkembang maju. Difahamkan proses (uji kaji) berjalan memandangkan kita menerima kunjungan pelbagai perunding dari semasa ke semasa.

“Mereka lihat kemudahan disediakan di CoE, malah pasukan dari Korea dan Amerika Syarikat juga melihat kawasan ini sesuai untuk dron kerana agak rendah dan tidak berbukit,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman di sini hari ini.

Ujian penerbangan dron di Pusat Kecemerlangan Dron (CoE) Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto Ihsan Unisel

Difahamkan syarikat terlibat SkyFtures menjalankan uji kaji selama dua bulan manakala Alaf Technology (sembilan bulan) dan Solution Consulting Services (enam bulan).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pusat terbabit akan dilancar dalam tempoh terdekat manakala kerjasama dengan syarikat lain termasuk fakulti masih dalam perbincangan.

Pada 25 November 2021, Unisel memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SELATI bagi membangunkan CoE mengambil kira institusi itu memiliki kemudahan dan persekitaran strategik dalam memacu industri berkenaan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata CoE dibangunkan bagi menyokong ekosistem industri dron di negara ini.

SELATI diberi mandat membangunkan pusat berkenaan merangkumi ujian dron, latihan, pembangunan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta permainan dron.


Pengarang :