SHAH ALAM, 16 JULAI: Aplikasi Infaq Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang dibangunkan sejak Mac tahun lalu merekodkan seramai 13,000 penyumbang setakat ini.
Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah memaklumkan jumlah sumbangan disalur menerusi aplikasi itu juga meningkat ketara khususnya pada hari Jumaat dan sepanjang Ramadan.
“Setiap hari ada transaksi sumbangan melalui aplikasi itu. Ketika bulan puasa nilai sumbangan mencatat kenaikan 1,000 peratus berbanding bulan-bulan lain, begitu juga hari Jumaat.
“Bagaimanapun kita akan mempergiat kempen bagi menggalakkan orang ramai menderma tanpa mengira waktu,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau berkata aplikasi dibangunkan dengan kerjasama syarikat gerbang pembayaran Toyyib Pay mudah kerana penyumbang boleh menetapkan amaun yang mahu diinfaq.
“Penyumbang juga boleh dapat pelepasan cukai, jadi kita kumpul derma dalam masa setahun kemudian mereka boleh lihat slip (pelepasan cukai) yang dipapar dalam aplikasi itu,” katanya.
Sebelum ini, agensi itu memberitahu kira-kira 2,000 masjid, surau, rumah kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dihimpunkan dalam aplikasi berkenaan.