DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyumbang ke tabung wakaf ketika majlis pelancaran wakaf Rumah Kanwork di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 Julai 2023.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri berkenan lancar projek wakaf Rumah KanWork

PETALING, 16 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan merasmi projek wakaf Rumah KanWork di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung Diraja KanWork menyempurnakan pelancaran itu sempena Majlis KanWork Charity Hi-Tea 2023 yang turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad.

Baginda turut berkenan menerima cek cura bernilai RM10,000 masing-masing disumbangkan Tenaga Nasional Berhad dan Premier Integrated Labs yang akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan aktiviti persatuan.

KanWork merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang giat memberi sokongan maklumat, emosi dan rohani kepada pesakit melalui aktiviti kumpulan sokongan, lawatan ke hospital dan rumah selain melalui talian bantuan 1-800-228672.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat reruai pameran wakaf Rumah Kanwork selepas majlis pelancaran wakaf Rumah Kanwork di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 Julai 2023.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengerusi KanWork Dr Mazanah Muhamad berkata NGO itu menerima sebuah rumah di Damansara Utama yang diwakafkan untuk pelbagai kegiatan termasuk pusat sumber kanser dan pusat pendidikan bagi kegunaan pesakit, pejuang kanser, penjaga serta orang awam.

“Namun dana untuk baik pulih rumah bernilai kira-kira RM200,000 masih belum mencukupi dan kami mengharapkan rumah berkenaan boleh beroperasi hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata majlis berkenaan membuka peluang kepada orang ramai untuk berwakaf kepada projek wakaf Rumah KanWork.

“KanWork giat melaksanakan pelbagai program pendidikan dan kesedaran kepada komuniti untuk pencegahan awal kanser selain menggalakkan amalan hidup sihat sepanjang hayat,” katanya.


Pengarang :