Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor titah kenyataan MB Kedah ‘belum selesai’

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menghina institusi diraja Selangor “masih belum selesai.”

“Baginda bertitah bahawa perkara ini masih belum selesai,” menurut kenyataan Pejabat DYMM Sultan Selangor di media sosialnya hari ini selepas menerima menghadap Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi di Istana Bukit Kayangan di sini.

“Pertemuan secara berasingan ini telah membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor,” kenyataan ringkas di Facebook Selangor Royal Office dipetik.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan terhadap lebih 50 laporan berhubung kenyataan Sanusi tidak terhenti meskipun beliau dilaporkan memohon ampun kepada Sultan Selangor.

Wakil rakyat PAS itu juga sudah memberi keterangan kepada polis Bukit Aman pada 14 Julai, dengan mendakwa ucapannya sengaja diputar belit bagi menimbulkan salah faham.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 17 Julai 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pengarang :