EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 17 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dana RM7.3 juta bina kolam takungan, tangani banjir sekitar Taman Mutiara di Klang

KLANG, 17 JULAI : Kerajaan Negeri memperuntuk RM7.3 juta bagi membina kolam takungan di Taman Mutiara Bukit Raja di sini, untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata projek dengan keluasan dua hektar itu bermula bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Projek ini diharap mengurangkan risiko banjir yang berlarutan sejak tahun 2000. Keputusan ini dibuat selepas tinjauan saya ketika banjir besar lalu. Memandangkan tiada kolam dapat menampung air, kita mengambil keputusan wajar untuk binanya.

“Insya-Allah, projek ini bukan sahaja memanfaatkan lebih 1,000 penduduk di Taman Mutiara Bukit Raja sebaliknya pihak dan pengguna lebuh raya juga turut terima faedah ini. Projek ini antara pelbagai usaha perancangan pengurusan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik pecah tanah bagi kerja pembinaan kolam takungan dan kerja berkaitan di Lebuhraya Shapadu bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja, hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim melihat pelan pembinaan kolam takungan ketika Majlis Pecah Tanah Projek Membina Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 17 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ir Izham berkata kolam sedalam 1.7 meter itu mampu menampung air sehingga 7 kubik per saat (cumec) sebelum dilepaskan secara berperingkat bagi mengatasi isu banjir kilat.

Ujarnya kolam takungan itu penting susulan kedudukan lokasi yang rendah menyebabkan masalah ‘banjir termenung’ yang sebanyak empat pam air disediakan bagi mengatasi permasalahan itu.

Beliau menjelaskan pam berkenaan disediakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertujuan mengepam air keluar dari kawasan taman sekiranya berlaku banjir kilat namun kapasiti masih tidak cukup jika hujan lebat.

“Dengan adanya kolam ini, air hujan itu akan dapat ditakung dan dilepaskan sedikit demi sedikit ke longkang dengan menggunakan pam. Air ini kemudiannya akan mengalir ke Sungai Kapar Kecil seterusnya ke Sungai Klang.

“Kolam ini dapat menampung taburan hujan sehingga 100 milimeter (mm), dan berdasarkan kajian, kita lihat di kawasan ini, hujan turun sekitar 80 hingga 90 mm,” katanya.

Mengulas lanjut Ir Izham berkata kolam takungan kini menjadi keperluan di Selangor bagi mengatasi masalah banjir kilat berikutan proses urbanisasi yang pesat selain kerja untuk menaiktaraf longkang juga sukar berikutan kos tinggi.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga sedang merancang untuk menetapkan syarat bagi keperluan kolam takungan atau tangki untuk simpanan air hujan di beberapa kawasan projek baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Lokasi projek membina kolam takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang pada 17 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :