ADNSELANGOR

Penyandang DUN puas hati makin ramai terbuka kongsi isu kesihatan mental

OLEH JULIANA JOHAR

SUBANG JAYA, 18 JULAI: Peningkatan tahap kesedaran penduduk negeri ini berhubung isu kesihatan mental antara kejayaan manis buat penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya Michelle Ng selama lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Michelle juga mengakui puas hati apabila program Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri yang memberikan kemudahan intervensi lanjut pakar psikatri kepada penduduk mendapat sambutan mengalakkan.

“Saya berpuas hati dengan program subsidi berkenaan kerana ia dapat sambutan mengalakkan. Penduduk Selangor kini semakin terbuka untuk bercakap mengenai kesihatan mental berbanding dulu dilihat sebagai satu stigma.

“Menerusi maklum balas, Kerajaan Negeri paling ke hadapan dalam isu ini dan satu-satunya negeri yang memberikan subsidi untuk rawatan seperti mana yang diperjuangkan saya dan YB Lim Yi Wei (penyandang DUN Kampung Tunku) perjuangkan (sebelum ini),” katanya.

Selain itu, Michelle berkata program itu turut menerima pujian daripada pakar psikiatri dari seluruh negeri yang menyifatkan inisiatif tersebut adalah antara langkah progresif perlu dicontohi.

“Ada dalam kalangan pakar psikiatri dari negeri lain contohnya dari Sarawak memuji program ini yang mana dia kata sistem Kerajaan Negeri ini sangat memudahkan rakyat untuk memahami dan mendapatkan rawatan mengenai kesihatan mental dengan lebih mendalam.

“Jadi, perkara ini merupakan antara pencapaian Kerajaan Negeri yang wajar diberikan pujian,” katanya.


Pengarang :