Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu belanja RM1.5 juta naik taraf pasar awam

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu membelanjakan lebih RM1.5 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Kuala Kubu Bharu demi keselesaan peniaga dan pengguna.

Penyandangnya Lee Kee Hiong berkata inisiatif itu juga diambil memandangkan tiada sebarang kerja penyelenggaraan dilaksana di pasar terbabit sejak 2007.

“Menerusi peruntukan diberi Kerajaan Negeri pada 2022 kita naik taraf bumbung bagi mengelakkan burung masuk ke dalam pasar sekali gus mengelakkan najisnya bersepah dan mengotorkan kawasan terbabit.

“Malah kita turut pertingkatkan keadaan ruang dalaman pasar dengan sediakan reka bentuk petak yang lebih moden dan mesra peniaga. Dengan cara ini peniaga tidak lagi perlu gunakan kerusi dan meja untuk pamerkan barangan jualan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Kee Hiong berkata usaha naik taraf yang dilaksanakan juga bertujuan menjadikan pasar awam berkenaan sentiasa bersih.

Sebelum ini DUN Kuala Kubu Bharu turut memanfaat peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP) berjumlah RM500,000 bagi melaksanakan 19 kerja baik pulih infrastruktur di kawasan terbabit.

Sebanyak enam projek siap setakat Jun iaitu pembinaan wakaf baharu di Tanah Perkuburan India Kerling serta penggantian bumbung dan penurapan semula jalan di dataran Balairaya Kuarters Kakitangan, Jalan Hospital.

Selain itu, pelebaran jambatan besi di Kampung Paya Dalam, menaik taraf dewan dan bilik persalinan kolam air panas serta penggantian bumbung Balairaya Kampung Asam Kumbang dan Dewan Kwang Yung Kwang Sai Association.


Pengarang :