Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) bersama Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan EXCO Perumahan Rodziah Ismail beramah mesra dengan penduduk pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Lif di PPR Kota Damansara, Petaling Jaya pada 18 Julai 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBPJ terima RM1.45 juta, naik taraf kemudahan awam

PETALING JAYA, 18 JULAI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntuk RM1.45 juta kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi tiga projek menaik taraf kemudahan awam.

Menterinya Nga Kor Ming berkata projek meliputi kerja menaik taraf tandas awam di Taman Rimba Riang berjumlah RM350,000, membaiki bumbung Dewan Komuniti MBPJ (RM550,000) dan menaik taraf Gerai Selera Impian (RM550,000).

“Ini antara kawasan tumpuan pengunjung untuk beriadah, beraktiviti dan menjamu selera bersama keluarga.

“Peruntukan ini sudah diluluskan dan diharap kerja naik taraf dapat dilaksanakan dengan kadar segera dan boleh siap selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan projek penggantian lif di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini yang turut dihadiri EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Projek berkenaan membabitkan penggantian 12 lif baharu di empat blok PPR Kota Damansara dengan kos RM3.7 juta.

Turut diwujudkan ruang komuniti, baik pulih besi penghadang di lereng bukit dan papan tanda di PPR Kota Damansara hasil sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) rakan strategik dan agensi di bawah KPKT.

 


Pengarang :