Oleh Nina Farzuin Md Sharom
SUNGAI BULOH, 20 Julai: Seramai 340 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima pengiktirafan pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang semalam.
Pelajar terlibat adalah daripada enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sierramas, SMK Bukit Gading, SMK Bandar Baru Sungai Buloh dan SMK Paya Jaras.
Penganugerahan itu turut diterima pelajar daripada SMK Bukit Rahman Putra dan SMK Saujana Utama serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.
Menghargai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri, pelajar yang dinobatkan pelajar terbaik DUN Paya Jaras, Henry Yap Jet Kang berkata, pengiktirafan itu perkara paling bermakna buat dirinya.
“Anugerah seperti ini dapat menggalakkan pelajar berusaha lebih gigih bagi mencapai prestasi akademik yang lebih baik.
“Terima kasih kepada YB Khairuddin (Mohd Khairuddin Othman) kerana menganjurkan majlis ini, ia sangat bermakna bagi saya,” katanya ditemui pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Paya Jaras di tapak parkir Pasar raya Econsave di sini semalam.
Bagi Nur Muhammad Suffi Saifuldin usaha gigih untuk memperoleh keputusan cemerlang berbaloi dengan pengiktirafan yang diterimanya.
“Bersyukur sangat, tidak pernah terfikir berpeluang menerima anugerah dan sumbangan seperti ini.
“Harap peluang seperti ini dapat dinikmati pelajar cemerlang lain pada masa depan,” katanya.
Wan Amanda Amelyn Wan Darul Azrin berkata dia tidak menyangka terpilih menerima pengiktirafan itu.
“Alhamdulillah, pengiktirafan dan sumbangan ini membakar semangat saya untuk terus menuntut ilmu dan mengejar cita-cita.
“Rezeki yang tak disangka, sama seperi keputusan SPM yang saya peroleh,” katanya.
Pada majlis itu, EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai RM200 sumbangan Kerajaan Negeri kepada pelajar terpilih.