Penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) DUN Paya Jaras menerima baucar Jom Shopping di tapak parkir Pasaraya Econsave, Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto Facebook M Khairuddin Othman

DUN Paya Jaras agih baucar beli-belah, dana lebih RM100,000 untuk aktiviti masyarakat

SHAH ALAM, 20 JULAI: Sebanyak 3,000 baucar Jom Shopping diagihkan kepada penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) peringkat Paya Jaras, semalam.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata baucar bernilai RM150 setiap seorang diserahkan dalam satu majlis di tapak parkir Pasaraya Econsave, Paya Jaras, Sungai Buloh.

“Ia bagi membantu meringankan beban penerima selain penghargaan kepada golongan warga emas atas komitmen dan jasa bakti mereka bersama-sama memacu pembangunan sosioekonomi.

“Program ini adalah salah satu Inisiatif yang menzahirkan keperihatinan Kerajaan Negeri dengan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat pelbagai peringkat termasuk warga emas dan juga Orang Kurang Upaya (OKU),” kata penyandang kerusi DUN Paya Jaras di Facebook.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman menyerahkan bantuan kepada masjid, surau dan persatuan di tapak parkir Pasaraya Econsave, Paya Jaras pada 19 Julai 2023. Foto Facebook M Khairuddin Othman

Beliau berkata dalam majlis sama turut disampaikan sumbangan berjumlah RM109,380 kepada masjid, surau dan persatuan komuniti di Paya Jaras bagi menyokong aktviti dan program kemasyrakatan.

“Sumbangan bagi membantu kariah dan penduduk setempat menganjurkan aktiviti kemasyarakatan sekali gus merancakkan pembangunan sosial di kawasan berkenaan,” katanya.

SMUE diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.


Pengarang :