Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) (kiri) melayan pelanggan yang membeli ayam segar sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjong Sepat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Bekalan ayam, telur pulih, harga mula turun, beras mencukupi

KLANG, 20 JULAI: Bekalan telur dan ayam kini kembali pulih selepas melepasi tahap getir bekalannya, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata perkembangan positif itu, merupakan hasil usaha kementeriannya dalam memastikan bekalan telur dan ayam di pasaran sentiasa mencukupi, bagi menampung keperluan pengguna.

“Sudah pulih (isu bekalan telur dan ayam), bahkan ada tempat harga ayam mula turun. Jadi usaha gigih (kementerian) termasuk dialog dengan persatuan penternak, telah (membuahkan) berhasil.

“Kita harap tidak ada peperangan baharu dan sebagainya yang boleh menjejaskan import bijirin jagung dan soya, sebab kita tahu bijirin jagung kini pada tahap permulaan penanamannya tetapi lambat lagi untuk mencukupi bekalan,” katanya.

Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, di sini hari ini.

Mengulas mengenai bekalan beras di pasaran, Mohamad berkata bekalan beras negara mencukupi walau pun jumlahnya sedikit berkurangan.

“Saya ingatkan pengilang supaya tidak menyimpan bekalan di premis masing-masing, stok yang ada mesti dikeluarkan sekarang supaya ada di pasaran,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :