Penduduk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Mega Ehsan Rahmah Aidiladha Parlimen Sepang di Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 24 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS anjur jualan murah di 12 lokasi sehari mulai 1 Ogos

KLANG, 20 JULAI: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diperluas ke 12 lokasi sehari mulai 1 Ogos hingga akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pertambahan lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) berbanding sembilan lokasi ketika ini, diharap memanfaatkan lebih ramai golongan berpendapatan rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri memberi mandat kepada PKPS untuk terus menganjurkan jualan murah ini.  Kita komited untuk terus meringankan beban rakyat.

“Dari sembilan lokasi sehari, kita tambah kepada 12 kawasan sehari. Jika dapat sambutan menggalakkan, kita boleh buat di 15 lokasi. Tumpuan diberikan di penempatan B40 seperti pangsapuri,” katanya pada program JER Parlimen Kota Raja di sini, hari ini.

Mohamad Khairil berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan beberapa pihak bagi menambah baik program termasuk menambah jenis barangan dijual.

“Kita sudah berbincang dengan dua tiga pihak. Setakat ini JER diadakan dengan kerjasama kementerian perdagangan dan kos sara hidup, penyelaras parlimen serta pihak berkuasa tempatan

“Sekarang jualan melibatkan enam produk utama antaranya ayam, telur dan beras tetapi selepas ini kita bakal tambah gula, garam,” katanya.

JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai minggu lepas, PKPS mula menjual minyak masak paket dan daging kiub di beberapa lokasi terpilih.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membawa pulang barangan yang dibeli pada Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang, Ampang Jaya pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :