Penyandang kerusi DUN Permatang Rozana Zainal Abidin melawat Surau Ar Rasyidin Kampung DKPV Sawah Sempadan, Tanjung Karang yang siap dinaik taraf menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang pada 5 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

DUN Permatang belanja RM125,800 tingkat prasarana tiga surau 

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 JULAI: Tiga surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang siap dinaik taraf melibatkan kos RM125,800 menggunakan dana Projek Selangor Penyayang (PSP).

Penyandang kerusi DUN Permatang berkata kesemua surau yang siap antara 15 Jun dan 10 Julai bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat menjalani ibadah.

“Kerja naik taraf ini membabitkan Surau Ar Rasyidin (Tanjung Karang) melibatkan penukaran karpet, cat, pendawaian dan pembaikan bumbung menelan kos RM39,000.

“Pembaikan pagar di Surau Kampung Hang Tuah (Bestari Jaya) pula menelan kos RM50,000 dan pembaikan bumbung, pendawaian serta cat Surau Sri Makmur (Kuala Selangor) sebanyak RM36,800,” katanya Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi hari ini.

Penyandang kerusi DUN Permatang Rozana Zainal Abidin melihat pagar Surau Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya yang siap dinaik taraf menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang pada 5 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :