Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau pusat kawalan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konsep Kumpulan Semesta urus sumber mineral Selangor dicontohi negeri lain

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang ditubuh bagi mengurus sumber mineral Selangor menjadi inspirasi beberapa negeri lain, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan konsep pengurusan KSSB kini dicontohi Pahang untuk mengawal selia hasil bumi negeri itu bagi mengelakkan ketirisan termasuk kewangan.

“Setelah bertahun-tahun, format KSSB turut digunakan di negeri-negeri lain, sebagai contoh Pahang.

“Apa yang menariknya, konsep ini berjaya mengawal kecurian hasil negeri selain tiada ketirisan kewangan,” katanya ketika menyampai amanat di kepada kakitangan KSSB di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika melawat pusat kawalan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin berkunjung ke pejabat anak syarikat negeri itu di Menara Bank Rakyat dan disambut Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Rahman Ishak.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Johary Anuar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Lokman Nasir.

Dalam pada itu, Amirudin menyifatkan proses pengambilalihan pengurusan hasil negeri tidak mudah selain berdepan pelbagai cabaran semasa termasuk berdepan isu fitnah.

“Akhirnya selepas beberapa tahun ia beri hasil yang baik. Ia juga buka banyak peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat,” katanya.

KSSB yang ditubuhkan pada 26 Jun 2008 pada awalnya bagi mengurus pengeksplorasian, pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir, bahan batuan dan sumber mineral.

Syarikat itu memperluas perniagaannya dengan menceburi pelbagai industri baharu dan menawarkan perkhidmatan lain seperti perundingan, inovasi digital, infrastruktur dan perdagangan.


Pengarang :