Angkatan Muda HARAPAN bersama Pemuda Barisan Nasional Selangor menyatakan solidariti ketika Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anak muda berhimpun pertahan institusi raja Melayu

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sekumpulan anak muda berhimpun bagi menunjukkan kesetiaan kepada institusi raja Melayu berikutan isu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor baru-baru ini.

Berlangsung di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, mereka berkumpul di situ lebih 30 minit selepas solat Jumaat.

Turut membawa plakad antaranya ‘Rakyat dan Raja Berpisah Tiada’, ‘Pertahan Institusi Raja’ dan ‘Daulat Tuanku’, mereka melaungkan kesungguhan untuk mempertahan institusi tersebut.

Perhimpunan berkenaan dipimpin Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Danial Al-Rashid Haron dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Shah Alam Muhammad Hafis Abdul Rahman.

Mereka juga merancang untuk menghantar memorandum kepada Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.

Dokumen mendukung institusi raja demi memastikan tiada lagi pihak membuat penghinaan.

Angkatan Muda HARAPAN bersama Pemuda Barisan Nasional Selangor menyatakan solidariti ketika Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mengutuk dan mendakwa sedemikian kepada DYMM Sultan Selangor perkara yang tidak boleh diterima. Kita ada perlembagaan dan apa yang kita pegang adalah sama,” kata Danial.

Sebelum ini, Dewan di-Raja Selangor membuat laporan polis pada 17 Julai berikutan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa menghina DYMM Sultan Selangor.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa berbuat demikian dalam ceramah di Selayang pada 11 Julai sebelum menteri besar Kedah itu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai.

Dalam dua pertuduhan tersebut, pemimpin PAS itu didakwa ada kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang cenderung membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.


Pengarang :