Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar bersama helikopter Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 di Kepala Batas pada 22 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tujuh termasuk juruterbang selamat dalam nahas helikopter di Subang

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Tujuh penumpang termasuk juruterbang selamat selepas sebuah helikopter kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat dalam kemalangan di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.52 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Norazman Mahmud berkata helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 itu dengan nombor pendaftaran 9M-BOF ketika itu sedang menjalani ujian penerbangan.

“Menara kawalan trafik udara Subang sebaik menerima laporan kemalangan, Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden itu.

“Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang di dalam helikopter tersebut dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazman berkata siasatan lanjut nahas itu akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sementara itu, laporan awal mendapati kemalangan helikopter milik JBPM di Subang itu berlaku ketika proses mendarat.

Pengarah Bahagian Ope­rasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata jentera berkenaan dalam proses penyelenggaraan dan bukan penerbangan biasa.

“Helikopter ini sudah lama beroperasi dan proses penyelenggaraan dibuat dan antaranya dengan melakukan proses pengerakan naik dan turun.

“Mungkin ada hentakan ketika mendarat, bukan (terhempas) dari kedudukan tinggi, kalau tinggi sudah (helikopter) berkecai …. Saya dimaklumkan kipas helikopter itu patah, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Izram berkata tujuh mangsa dalam kemalangan itu yang melibatkan tiga anggota JBPM dan empat jurutera penerbangan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

-BERNAMA


Pengarang :