Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ratusan penghantar p-panggilan sewaktu program Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ Petaling Jaya pada 22 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM lulus RM1 juta tubuh jawatankuasa bela kebajikan pekerja p-panggilan

PETALING JAYA, 22 JULAI: Perdana menteri meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembentukan jawatankuasa pekerja gig (p-panggilan) bagi memastikan kebajikan golongan itu terbela.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu menerusi program Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing yang diadakan di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Menurut Anwar, peruntukan bagi membentuk sekretariat jawatankuasa itu memudahkan golongan p-panggilan menyampaikan segala pandangan dan masalah dihadapi sekali gus membawa ke peringkat seterusnya.

“Setakat ini, kita peruntuk RM10 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk golongan ini membeli motosikal lebih baik dan sekiranya habis akan tambah lagi RM10 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ratusan penghantar p-panggilan sewaktu program Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ Petaling Jaya pada 22 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Seterusnya, untuk permulaan untuk golongan ini beri pandangan, ia tidak boleh one-off kena ada penyelarasan dan hal-hal berbangkit boleh berjumpa menteri besar, menteri usahawan, menteri sumber manusia.

“Untuk memulakan sekretariat ini berhubung kegiatan rider, saya meluluskan RM1 juta. Ini penting kerana kalau tidak jadi ‘disorganized’, jadi kita tahu masalah pinjaman, kemudahan, insurans dan Perkeso,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan semua syarikat p-panggilan pada minggu depan untuk berbincang berkenaan kadar upah penghantaran makanan yang semakin rendah.

“Beri saya seminggu, saya akan panggil semua syarikat p-panggilan untuk berjumpa di pejabat perdana menteri. Bagi saya tempoh masa untuk sampaikan pesanan berhubung perkara (kadar rendah) ini.

“Kita kena cari penyelesaian dan bukannya bangkitkan hal yang tidak boleh selesai. Saya akan tanya kenapa kadar dari RM7 turun kepada RM6.

“Dia kena terangkan kepada perdana menteri dan itu yang mampu saya buat untuk meringankan beban,” katanya.

Terdahulu, ribuan penunggang p-hailing hadir ke sesi temu bersama perdana menteri yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Belia, Mohd Khairuddin Othman.


Pengarang :