Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari pada program Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ Petaling Jaya pada 22 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor sentiasa prihatin kebajikan, bela nasib pekerja p-panggilan

PETALING JAYA, 22 JULAI: Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan kebajikan pekerja gig (p-panggilan) terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara program yang membantu kelangsungan hidup pekerja p-panggilan ialah dengan melaksana Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak menunggu lama membantu golongan ini dengan melaksana program RiDE pada 2021. Sebanyak 22,000 anak muda mendaftar dan kita telah beri bantuan kepada 9,000 individu.

“Setiap tahun sejak 2021 hingga kini kita bantu dengan beri bantuan RM500 dan RM50 caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan daftarkan dengan Perkeso.

“Kenapa kita lakukan semua ini? Kerana kita tahu perkembangan dan keperluan mereka selaku penunggang p-panggilan yang merupakan wira sepanjang berdepan dengan pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian  dalam ucapan program Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri terus membela nasib penunggang p-panggilan turut didaftarkan di bawah Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

“Penghargaan terima kasih kepada mereka tidak cukup dengan tepukan dan ucapan, kita beri sokongan di bawah program skim insurans percuma.

“Di seluruh Malaysia, bahkan di Asia Tenggara, Selangor satu-satunya negeri yang memberi perlindungan kepada rakyatnya. Menerusi skim ini, penerima p-panggilan turut didaftarkan dan dilindungi jika berlaku kemalangan,” katanya.


Pengarang :