Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis perhimpunan penjawat awam dan pemimpin masyarakat di bangunan pentadbiran negeri pada 23 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB hargai sokongan rakyat, kerja keras penjawat awam majukan negeri

SHAH ALAM, 23 JULAI: Meraih sokongan tinggi pengundi Melayu terhadap corak kepimpinannya disifatkan satu pengiktirafan buat Dato’ Menteri Besar dan pentadbiran negeri bagi penggal ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kejayaan diraih itu hasil kerja keras bersama penjawat awam sebagaimana pesanan yang selalu dititipkan supaya semua bekerja sebagai satu pasukan.

Jelasnya, kejayaan yang dipacu semangat berpasukan itu juga membolehkan Selangor mendapat lebihan daripada sasaran pendapatan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut bermula 2020.

“Saya ucap terima kasih kepada pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas siang malam, pagi petang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini juga manifestasi kepada capaian program kita ke bawah. Ia (kejayaan) bukan hanya persepsi tetapi satu pencapaian. Lebih manis lagi ia digarap serta dihasilkan saat saya berdepan empat krisis serangkai,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Krisis itu membabitkan penularan Covid-19, ketidaktentuan politik dan masalah alam sekitar serta kegawatan ekonomi yang berlaku ketika pandemik antara 2020 hingga 2022.

Amirudin menjelaskan setiap EXCO dan penjawat awam turut diberi peluang serta kepercayaan untuk berbincang sejujur mungkin selain bertanggungjawab penuh melunaskan tugas.

“Itu menjadi resipi sebab teras dan kepercayaan elemen penting dalam konteks pentadbiran saya ketika itu. Dalam Rancangan Selangor Pertama juga 70 hingga 80 peratus dirangka penjawat awam.

“Mungkin situasi ini tidak berlaku dalam beberapa pentadbiran di luar sana. Saya akui kita turut guna khidmat konsultan tetapi hanya di peringkat akhir untuk melengkapkan kajian,” kongsinya.

Tinjauan firma penyelidikan Endeavour-MGC antara 12 hingga 18 Jun mendapati 71 peratus Melayu di Selangor berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai Amirudin.

Sebanyak 68 peratus responden juga berpuas hati dengan pentadbiran bawah gabungan tersebut sejak 2018 dan mahukan Amirudin kekal memimpin Selangor selepas pilihan raya negeri pada 12 Ogos.


Pengarang :