AGENDANASIONAL

Bukan hanya lupus hutang, tambah kemudahan buat peneroka Felda

SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan meluluskan peruntukan ratusan juta bagi menyediakan pelbagai prasarana kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kemudahan tersebut meliputi antaranya pembiayaan insurans, pembinaan pusat dialisis, rangkaian digital dan pemasangan lampu jalan.

Menegaskan usaha bukan setakat melupus hutang RM8.3 bilion, beliau menambah golongan minoriti termasuk peneroka Felda diabai beberapa kerajaan persekutuan terdahulu sejak sekian lama.

“Suasana sana gelap-gelita. Ini semua kita luluskan beberapa bulan lalu, maknanya mereka rasa terabai. Oleh demikian tanggungjawab kita untuk sempurnakan.

“Kita bersyukur bila ada (tubuh) kerajaan (peringkat) persekutuan, beberapa kes termasuk (masalah) Felda yang tidak dapat kita uruskan, dapat kita tangani,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan pengerusi Pakatan Harapan itu berucap demikian dalam majlis pengumuman calon KEADILAN di Padang MBSA Seksyen 7 di sini malam tadi.

Penyokong Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menghadiri pada majlis pengumuman calon KEADILAN di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Anwar dalam program sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai membuat pengumuman khas bagi mempertingkat mutu kehidupan dan membela kebajikan mereka. Berikut insentif berkenaan:

  • projek pemasangan 37,012 lampu jalan di kawasan Felda melalui peruntukan RM7.7 juta melibatkan kesan kewangan RM7.7 juta setahun
  • bina 12 pusat hemodialisis di semua kawasan Felda termasuk yayasan di Kelana Jaya melalui dana RM21 juta yang memanfaat 2,000 pesakit
  • subsidi diesel RM36 juta setahun untuk tampung operasi penjanaam tenaga dan rawatan air yang memanfaatkan 43,000 peneroka selain RM128 juta di Sabah
  • insentif khas kesihatan RM300 untuk peneroka berusia 65 tahun ke atas melalui dana RM21.21 juta yang memanfaat 70,715 peneroka
  • sedia peruntukan untuk segerakan baki 283 unit Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai
  • sedia 30 pusat ekonomi digital di seluruh negara dan adakan program jangka panjang Kolej Yayayasan Felda di Kelana Jaya
  • pertimbang usaha drastik untuk bantu peneroka getah beralih ke tanaman komoditi antaranya sawit dan kelapa

Pengarang :