Calon KEADILAN DUN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) ketika ditemui media pada majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai. 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Galas tugas ketua cabang KEADILAN mudahkan Altimet dekati masyarakat

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pengalaman kira-kira setahun sebagai ketua Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) cabang Ampang menjadi panduan untuk berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata meskipun tanggungjawab digalas masih baharu namun akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama ketika mendekati pengundi.

“Sebagai penyelaras saya berpeluang belajar gerak kerja sebagai ADUN dan kenali penduduk di sana.

“Alhamdulillah saya rasa sangat terharu dan bersyukur diberi peluang (menjadi calon) untuk membalas budi kepada Ampang setelah lebih 13 tahun bermastautin di sana,” katanya kepada Selangorkini.

Susulan dipilih sebagai calon kerusi Lembah Jaya, Altimet berkata beliau bakal memperlahankan minatnya dalam industri seni kreatif.

“Saya sudah berhenti membuat persembahan sejak 2019. Itu kerjaya saya tapi minat menulis lagu masih berterusan hingga sekarang. Lepas ini akan kurangkan,” katanya.

Calon KEADILAN DUN Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah ketika ditemui media pada majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengaran Urusan Institut Penyelidikan Selangor Dr Fahmi Ngah tekad membantu negeri menerusi data dan maklumat sekiranya mendapat mandat daripada pengundi Seri Setia.

“Saya bersyukur dipilih sebagai calon dan lihat kali ini pentadbiran menampilkan golongan profesional dan anak muda. Sudah tiba masa negeri mendapat sentuhan muka baharu demi idea lebih segar.

“Sekiranya (Pakatan Harapan) menang, ini merupakan penggal ke empat mentadbir. Jadi pendekatan kita perlu berbeza terutama menyempurkan kerangka pelan Rancangan Selangor Pertama,” kata bekas pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit.

Malam tadi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Altimet dan Dr Fahmi antara calon ditampilkan parti pada PRN ini.


Pengarang :