Orang ramai membeli barangan keperluan dapur seperti ayam, beras dan minyak masak pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Subang di Pangsapuri SS19, Subang Jaya pada 23 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah manfaatkan lebih 5,000 warga DUN Subang Jaya

OLEH AMIRUL FAZLI

SUBANG JAYA, 23 JULAI: Lebih 5,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menerima manfaat di lebih 10 program jualan murah barangan asas.

Penyandang kerusi DUN berkenaan Michelle Ng Mei Sze berkata program Jualan Ehsan Rahmah (JER)
sering dinantikan penduduk terutama berpendapatan rendah pada setiap penganjuran.

“Kita bersama Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk membantu rakyat agar mereka mendapat manfaat daripada program yang diadakan,” katanya ditemui di sini hari ini.

Jualan itu antaranya menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga Disember ini, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta.


Pengarang :