Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Dato’ Mohd Yazid Sairi (empat kiri) bergambar selepas perasmian reka bentuk tapak dewan komuniti dan rumah penjawat awam di Menara MPS pada 24 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Pembinaan dewan komuniti, rumah penjawat awam di Selayang mula Oktober ini

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

SELAYANG, 24 Julai: Pembinaan dewan komuniti dan rumah penjawat awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dijangka bermula Oktober ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pembinaan kemudahan dan kediaman itu dianggarkan melibatkan kos RM45 juta.

“Ini adalah hasil keputusan yang dimuktamadkan Majlis Tindakan Ekonomi dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Mei lalu.

“Kerja pembinaan kedua-dua kemudahan ini akan dilaksanakan pemaju yang mana terdapat perbincangan untuk diserahkan semula kepada MPS selepas siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Reka Bentuk Tapak Dewan Komuniti dan Rumah Penjawat Awam di Lobi Menara MPS hari ini.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian reka bentuk tapak dewan komuniti dan rumah penjawat awam di Menara MPS pada 24 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pembinaan dewan melibatkan keluasan tapak 3.96 ekar manakala 1.78 ekar bagi rumah penjawat awam.

“Anggaran luas 23,000 kaki persegi, dewan ini akan memuatkan kira-kira 800 orang dilengkapi enam gelanggang badminton selain kemudahan lain seperti surau dan tadika.

“Bagi kediaman penjawat awam pula dibina dengan keluasan 334,000 kaki persegi melibatkan 200 unit dan mempunyai 16 tingkat,” katanya.

Menjangkakan projek yang dibina di kawasan Bandar Baru Selayang itu siap didiami pada 2026, beliau berkata, pembinaan itu sebagai pelengkap inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan agensi kerajaan dapat berfungsi dengan lebih baik.

“200 unit rumah kita akan serahkan 150 daripadanya kepada MPS untuk didiami pegawai mereka dan selebihnya kepada agensi lain sebagai usaha untuk meningkatkan produktiviti penjawat awam.

“Begitu juga dengan dewan komuniti yang kita anggap sebagai mercu tanda bagi MPS yang akan membantu meningkatkan keselesaan penduduk di samping menyediakan aset dan kemudahan kepada rakyat dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, projek pembinaan itu sebagai langkah pembangunan komuniti di bawah MPS serta pengiktirafan jasa penjawat awam.

“Pembinaan dewan komuniti ini adalah satu komitmen kerajaan untuk menyediakan ruang dan infrastruktur yang sesuai untuk masyarakat berinteraksi melalui program kemasyarakatan.

“Penjawat awam merupakan tulang belakang negara dan dengan adanya kediaman selesa ini diharap mereka melaksanakan tugas dengan lebih fokus dan bersemangat,” katanya.


Pengarang :