Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa Erny Afrishah Azizi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon HARAPAN DUN Sementa tumpu isu infrastruktur, pikat hati belia

SHAH ALAM, 26 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa tekad memperjuang isu pembangunan infrastruktur jika menang pilihan raya negeri (PRN).

Erny Afrishah Azizi, 25, menjelaskan isu jalan dan parit yang gagal ditangani wakil rakyat terdahulu wajar diberi perhatian di kawasan terbabit demi keselesaan penduduk.

“Sebelum ini, isu berkaitan tidak diendahkan wakil rakyat, jadi saya mahu perjuangkan. Sejak diamanah sebagai penyelaras DUN, saya dapat selesaikan di 12 kampung,” katanya ketika dihubungi.

Anak jati Sementa itu juga berhasrat memenuhi keperluan belia dan mendengar kehendak mereka meskipun mengakui bukan mudah memenangi hati golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Erny berpendapat pilihan raya kali ini peluang terbaik untuk HARAPAN merampas semula kerusi terbabit selepas wakil rakyat sebelumnya keluar parti.

“Sejujurnya saya gemuruh tetapi ini peluang untuk bangkitkan semula Sementa. Walaupun calon termuda, saya yakin dapat kembalikan Sementa bawah HARAPAN dengan kerjasama jentera,” katanya.

Pemegang ijazah sarjana muda perniagaan itu antara 20 calon HARAPAN dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bertanding dalam PRN mulai 29 Julai.

Dalam pilihan raya umum lalu, kerusi DUN Sementa dimenangi Dr Daroyah Alwi yang ketika itu bertanding atas tiket KEADILAN dengan meraih 17,867 undi, mengalahkan tiga calon lain.

Hari penamaan calon PRN Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai. Hari mengundi 12 Ogos.


Pengarang :