Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rizab naik, agihan bantuan kebajikan bertambah, KDNK tertinggi

Oleh Fuad Hadinata

SHAH ALAM, 26 JULAI: Nilai rizab, agihan bantuan kebajikan dan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada negara meningkat sepanjang lima tahun pentadbiran negeri.

Bagi KDNK, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan tertinggi dalam sejarah negeri iaitu 25.5 peratus juga menunjukkan trend menaik sepanjang tempoh tersebut.

Beliau menjelaskan sumbangan pada 2.5 peratus pertama kali dicapai pada 2022 manakala 2021 (24.8 peratus), 2020 (24.3 peratus), 2019 (24.2 peratus) dan 2018 (23.7 peratus).

“Pada 2021 dan 2022, kita merekod peningkatan 0.7 peratus daripada 24.8 kepada 25.5 peratus, (ini) paling tinggi dalam tempoh 15 tahun, kita telah buat sesuatu untuk tingkat ekonomi.

“Trend menaik dan tidak boleh dikatakan mundur,” katanya dalam program Sembang Katup Pintu malam tadi sambil menyangkal dakwaan pembangkang kononnya Selangor merosot bawah pimpinannya.

Amirudin yang pengerusi Pakatan Harapan Selangor memaklumkan rizab negeri juga menunjukkan aliran peningkatan besar, daripada RM470 juta pada 2008 kini berjumlah RM3.4 bilion.

Beliau berkata pentadbirannya juga berbelanja RM2.3 bilion untuk pelbagai program kebajikan rakyat, kira-kira RM1 bilion lebih banyak berbanding pentadbiran Azmin iaitu RM1.3 bilion.

“Beza RM1 bilion, mungkin ada kata tempoh Azmin tidak panjang tetapi apabila dicampur dengan zaman Tan Sri Khalid, apa yang kita belanja lebih daripada mereka,” katanya.

Selain itu, Amirudin menjelaskan pertumbuhan ekonomi turut meningkat 11.9 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.


Pengarang :