Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pertahan prestasi cemerlang negeri, elak jejas pulih ekonomi negara

SHAH ALAM, 26 JULAI: Keampuhan Selangor sebagai rumah kuasa ekonomi Malaysia perlu dipertahan bagi memastikan kejayaan usaha pemulihan ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai penyumbang ekonomi terbesar kestabilan Selangor jelas memberi dampak kepada proses pemulihan ekonomi negara.

“(Jika) Selangor sebagai penyumbang ekonomi terbesar merudum ia juga akan merendah dan menurunkan kemampuan pemulihan (ekonomi negara) kita.

“Waktu ini kita memerlukan Selangor yang berjaya kerana kita sedang pulihkan ekonomi yang terkesan teruk dengan pandemik,” katanya dalam sesi audio siar Sembang Katup Pintu bertajuk Apa Lagi Rakyat Selangor Mahu, malam tadi.

Justeru, Amirudin berkata keseragaman antara pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi memastikan segala usaha pemulihan ekonomi negara berjalan baik.

“Kita perlu mengekalkan yang ada untuk memulihkan negeri dan negara kita dengan lebih pantas (sekali gus) memuncak prestasi dan pencapaian kita.

“Contohnya pada 2019 kita tandatangani penstrukturan air secara menyeluruh. Usaha ini dijalankan dari zaman (menteri besar terdahulu) tetapi hanya lengkap zaman saya kerana masa itu Pakatan Harapan di pusat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata proses pemulihan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan adalah membantu dulu mereka yang memerlukan dalam masa sama kerajaan bekerja memulihkan ekonomi.

“(Ekonomi) perlu pulih segara. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turun bagi penerangan dan bantuan kepada petani, umumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pelbagai lagi menyerap tekanan dan ia adalah peringkat sementara.

“Maknanya proses pemulihan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan adalah membantu dulu mereka yang memerlukan dalam masa sama (kerajaan) bekerja memulihkan ekonomi.

“Selangor mengambil peranan yang sangat besar jika Selangor berada di luar kelompok Kerajaan Persekutuan proses (pemulihan) itu akan jadi lebih parah atau lambat,” katanya.


Pengarang :