Unit Alam Sekitar Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menahan dua lori yang membuang sampah di tapak haram pada 13 Julai lalu. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj cadang pasang CCTV di lokasi panas, atasi isu tapak sampah haram

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

KAJANG, 26 Julai: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengenal pasti sembilan tapak pelupusan sampah haram yang masih aktif di sekitar kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan segera akan diambil bagi mengatasi isu tersebut termasuk mengadakan perbicangan bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Antara kawasan terlibat ialah di Sungai Serai dan Bandar Mahkota Cheras. Kita masih menerima banyak aduan mengenai pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan-kawasan ini dan ia sangat membimbangkan.

“Insya-Allah pada Jumaat ini akan ada satu mesyuarat bersama kementerian terlibat untuk membincangkan lebih lanjut bagaimana masalah ini dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat MPKj di Menara MPKj hari ini.

Bagi mengelakkan aktiviti itu terus melarat, beliau memaklumkan pihaknya bercadang memasang sistem TV litar tertutup (CCTV) di lokasi panas.

“Salah satu lokasi panas yang telah kita gunakan CCTV adalah di Semungkis yang mana kita berjaya merakam wajah dan nombor pendaftaran kenderaan pelaku yang kebanyakannya bermotosikal.

“Mungkin juga kita akan gunakan modus operandi yang sama di lokasi panas yang lain dan akan mengeluarkan kompaun berdasarkan nombor pendaftraan kenderaan melalui kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan hasil rondaan berkala yang dibuat Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan (JPK) ke lokasi panas turut berjaya menahan dan menyita beberapa buah lori yang terlibat.

“Sebanyak 125 lori disita sejak Januari sehingga 23 Julai lalu selain 17 kompaun turut dikeluarkan bagi kesalahan pencemaran alam sekitar. Ia turut melibatkan anggaran jumlah kutipan sitaan bernilai RM 687,500,” katanya.


Pengarang :