Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jaga kebajikan semua, negeri atur banyak program ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 26 JULAI: Program kebajikan negeri disusun dengan teratur bagi memastikan setiap lapisan rakyat disantuni serta terbela.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa inisiatif turut ditambah baik dengan meningkatkan nilai bantuan yang diterima bagi memenuhi keperluan semasa.

“Contohnya Skim Mesra Usia Emas (SMUE), ada yang kata saya kurangkan dari RM2,500 kepada RM500. Ini adalah separuh benar sebab masa zaman arwah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, jika warga emas yang didaftarkan meninggal, keluarga dapat RM2,500.

“Zaman saya, untuk warga emas diberi RM150 baucar Jom Shopping setiap tahun, yang mana jangka hayat warga emas sekarang adalah antara 60 hingga 75 tahun. Selepas meninggal kita beri RM500 kepada keluarga.

“Namun malangnya perkara ini dijadikan modal politik pembangkang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sesi audio siar Sembang Katup Pintu malam tadi.

Beliau berkata Selangor membelanjakan RM2.3 bilion dalam tempoh lima tahun untuk kebajikan rakyat menerusi lebih 40 inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang.

“Contohnya untuk kebajikan rakyat, menerusi Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) ia menyeluruh daripada pendidikan anak istimewa, latihan guru malah ibu bapa (turut dapat manfaat) untuk barangan keperluan anak.

“Kita latih guru tadika supaya mereka mahir pendidikan khas jadi tidak perlu hantar anak ke sekolah swasta yang kosnya mahal,” katanya.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan ISP menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :