Padang rekreasi dan permainan di Kampung Permata, Kuang dinaik taraf menerusi Projek Selangor Penyayang. Foto Penyelaras DUN Kuang
ADNSELANGOR

Lapan projek naik taraf kemudahan awam di DUN Kuang siap hujung bulan ini

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 26 JULAI: Sebanyak lapan projek menaik taraf kemudahan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, melibatkan peruntukan RM400,000 akan siap hujung bulan ini.

Penyelarasnya Salasiah Disa berkata projek tersebut merangkumi empat padang, tiga surau dan satu longkang itu mula dijalankan pertengahan Jun lalu dan bakal siap hujung bulan ini.

“Empat padang itu ialah padang Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri (BTS), padang awam di Greenvalley Park, padang permainan di Kampung Permata dan padang futsal Kampung Permata.

“Baik pulih surau pula melibatkan Surau Al-Furqan Blok 28 BTS, Surau Al-Mardiah Desa Kundang dan Surau Baitul Ibadah Blok E, Kampung Melayu Sri Kundang.

“Satu lagi projek ialah naik taraf longkang lorong E13 Kampung Melayu Sri Kundang. Semua projek ini menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP),” katanya kepada Selangorkini.

Padang rekreasi dan permainan di Kampung Permata, Kuang dinaik taraf menerusi Projek Selangor Penyayang. Foto Penyelaras DUN Kuang

Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RM28 juta diperuntuk di bawah inisiatif projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :