Beberapa pengunjung meninjau flora dan fauna di Taman Mangrove Point, Pelabuhan Klang yang dibuka kepada orang ramai pada 26 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Taman Mangrove Point bakal dilengkapi jeti, bawa pengunjung telusur Sungai Klang

KLANG, 26 JULAI: Landasan Lumayan Sdn Bhd bercadang membina jeti yang menghubungkan Taman Mangrove Point dengan Taman Awam Pangkalan Batu di sini bagi memberi nilai tambah kepada lokasi itu.

Pengarah Khidmat Korporatnya Nini Shazrina Ahmad Shamli menjelaskan jeti yang dijangka dibina tahun depan dilengkapi perkhidmatan teksi air untuk membawa pengunjung menelusuri Sungai Klang.

“Perjalanan dimulakan di Taman Awam Pangkalan Batu dan berakhir di Taman Mangrove Point. Sepanjang perjalanan, mereka akan dibawa melihat dua Interceptor yang membersihkan Sungai Klang,” katanya.

Bercakap selepas majlis pembukaan Taman Mangrove Point di Pelabuhan Klang hari ini, beliau menambah cadangan itu masih diteliti berikutan ia menelan kos yang tinggi.

Taman Mangrove Point yang dibuka secara rasmi hari ini dilengkapi laluan pejalan kaki sepanjang satu kilometer, yang membolehkan pengunjung menerokai keindahan hutan paya bakau.

Lokasi tersebut diiktiraf Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) dalam Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia menerusi kategori Analisis dan Kajian Landskap pada 2019.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan taman yang dibangunkan dengan kos RM10 juta dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain sesuai untuk aktiviti memancing.


Pengarang :