Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli beramah mesra bersama penduduk pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Dewan JKKK, Kampung Kemensah, Gombak pada 27 Julai 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
ADNSELANGOR

Kebajikan, keselamatan penduduk fokus utama calon HARAPAN DUN Hulu Kelang

Oleh SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 27 JULAI: Isu kebajikan dan keselamatan penduduk menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang jika menang pilihan raya negeri (PRN).

Juwairiya Zulkifli berkata kemudahan awam termasuk jalan juga akan ditambah baik bagi memastikan setiap warga DUN berkenaan menikmati kehidupan yang sejahtera.

“Isu berkenaan akan diberi perhatian lebih mendalam kerana majoriti penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Wakil rakyat sebelum ini sudah menjalankan tugas yang baik, jadi kita akan lihat keperluan untuk penambahbaikan dari sudut keselamatan dan kebajikan penduduk,” katanya  yang merupakan penyandang DUN Bukit Melawati.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli beramah mesra bersama penduduk pada program Jelajah Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Dewan JKKK, Kampung Kemensah, Gombak pada 27 Julai 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.

Juwairiya berkata demikian ketika ditemui pada program jualan Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Gombak di Dewan JKKK Kampung Kemensah, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa beramah mesra bersama lebih 400 penduduk yang hadir bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini kerana ia banyak membantu rakyat terutama suri rumah yang menjadi pengikut setia jualan murah ini, kita akan teruskan lagi termasuk di Hulu Kelang,” katanya lagi.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.


Pengarang :