Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) ketika program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Subang Jaya pada 27 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

65,000 calon SPM ikuti program tuisyen percuma negeri

SUBANG JAYA, 27 JULAI: Seramai 65,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Dato’ Menteri Besar berkata program pemerkasaan pendidikan itu membantu pelajar terlibat mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan terbukti berkesan apabila 89 peserta PTRS tahun lalu memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Subang Jaya pada 27 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ia menunjukkan kualiti PTRS ini sangat baik kerana sebahagian mereka ini adalah yang tidak mampu mendapatkan pendidikan tambahan atau tuisyen.

“Ada daripada mereka yang mungkin gagal tapi bila kita bantu kita didik dengan PTRS sebahagian mereka iaitu 89 jadi pelajar cemerlang.

“Kerajaan Negeri rasa gembira dapat bantu dan memberi mereka peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi kelak,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM), Subang Jaya pada 27 Julai 2023. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (kanan) dan Rektor Universiti Islam Selangor Prof Madya Dato’ Dr Mohd Ravi Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, MBI menerusi kenyataan memaklumkan 65,000 yang layak mengikuti PTRS 2023 adalah pelajar 272 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan lima sekolah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor.

“PTRS adalah kelas tuisyen percuma bagi pelajar yang memperoleh keputusan sederhana atau lemah dalam mata pelajaran dan pelajar cemerlang (pecutan akhir) selain pendapatan bulanan ibu bapa RM5,000 dan ke bawah.

“Ia membabitkan enam matapelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan matematik tambahan dengan 1,956 penyelaras atau guru,” katanya.


Pengarang :