Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai calon bagi kerusi itu di luar Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak pada 29 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Juwairiya guna pengalaman pimpin DUN Bukit Melawati majukan Hulu Kelang

GOMBAK, 29 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak gentar berdepan bekas Menteri Besar Selangor dalam saingan dua penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang.

Sebaliknya, Juwairiya Zulkifli menegaskan akan memikul amanah itu sebaik mungkin untuk menewaskan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak gentar sebab dia (Azmin) bukan orang asing. Bekas bos saya juga. Tidak perlu saya gentar kerana ini amanah rakyat,” katanya ditemui selepas penamaan calon di sini.

Beliau turut menjadikan pencapaian lima tahun sebagai wakil rakyat Bukit Melawati dalam penggal lalu sebagai taruhan dalam kempennya menawan hati pengundi Hulu Kelang.

“Saya percaya perkhidmatan selama lima tahun (di Bukit Melawati) mampu merebut kerusi baharu. Memang ada risiko tetapi saya tidak akan kecewakan penduduk Hulu Kelang,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14, DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib mewakili HARAPAN dengan majoriti 15,349 undi menewaskan dua lagi calon lain.


Pengarang :