Penyandang kerusi DUN Sungai Ramal Mazwan Johar ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Ramal, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 27 Jun 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Atasi isu kesesakan trafik dalam DUN Sungai Ramal fokus Mazwan Johar

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

BANGI, 29 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Mazwan Johar akan menumpukan usaha mengatasi kesesakan trafik di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal di sini.

Beliau menjelaskan antara kawasan tumpuan adalah bulatan Persiaran Kemajuan dan Persiaran Universiti, Bandar Baru Bangi di sepanjang Persiaran Pekeliling.

“Laluan trafik sering jadi sesak dari Plaza Tol Bangi ‘OutBound’ ke arah kedua-dua bulatan ini. Perancangan pula sama ada membina jejambat atau simpang lampu isyarat di laluan tersebut.

“Perkara ini saya susah bawa ke dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sebelum ini dan Kerajaan Negeri bersetuju. Kajian awal sudah dilaksana dan akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan kerana ia memerlukan peruntukan besar,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Ramal, di sini.

Bendahari Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu berkata satu lagi tumpuan adalah di Jalan Reko, Kajang iaitu dalam proses menaik taraf laluan dan sedang dalam proses pengambilalihan tanah bagi tujuan melebar jalan.

“Kajian penilaian impak trafik (TIA) sudah pun siap. Jika selesai proses pengambilalihan itu siap, projek ditender kepada syarikat pembinaan yang layak, akan dilaksana awal tahun depan,” katanya.

Mazwan memaklumkan, setakat ini, beliau berjaya membantu, membuka laluan pintasan di Jalan Alam Sari yang memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya Bangi dan Semenyih selain di Jalan Abim.

“Cabaran utama saya sepanjang berkhidmat di DUN ini adalah mengubah suai infrastruktur awam kerana pembangunan di sini agak tidak terancang dan padat sehingga menyebabkan masalah sistem trafik serta pembentungan lebih efisien,” katanya.


Pengarang :