Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain berintraksi secara maya dengan ketua-ketua polis negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri selepas sidang media mengenai Op Cantas Khas di Bukit Aman pada 29 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis aktifkan bilik Op Cantas Khas pantau perjalanan PRN, isu 3R

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis mengaktifkan bilik Op Cantas Khas berpusat di Bukit Aman bagi memantau dan mengumpul maklumat berkaitan kesalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk isu 3R (agama, raja dan kaum).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semua maklumat perjalanan pilihan raya di enam negeri yang terlibat akan disalurkan secara langsung ke bilik Op Cantas Khas berkenaan bagi membolehkan tindakan serta-merta diambil jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang ditetapkan.

“Bilik berkenaan akan menempatkan pautan komunikasi Op Cantas Khas di enam Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri secara masa nyata selain rakaman video akan diambil secara masa nyata sekiranya terdapat sebarang provokasi atau kekecohan PRN di enam negeri PRN.

“Seramai 82 tim Op Cantas Khas juga akan diatur gerak ke enam negeri untuk memantau dan memberi pelaporan terus kepada bilik operasi berkenaan,” katanya pada sidang media khas sempena PRN di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, seramai 17,176 anggota dan pegawai polis ditugaskan di lapangan sepanjang tempoh PRN ini dengan turut dibantu 572 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di enam negeri berkenaan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, Razarudin sekali lagi mengingatkan calon-calon yang bertanding supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur 3R kerana mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas sebarang provokasi yang dilakukan penyokong mereka.

Calon-calon juga, katanya perlu bijak mengawal penyokong mereka daripada bertindak di luar kawalan dan perlu mendapatkan permit kempen awal sehari untuk mengelakkan sebarang pertembungan.

“Jika terdapat dua parti politik berbeza di lokasi berdekatan, permohonan permit berkempen yang kedua (hari yang sama) akan dibatalkan bagi mengelakkan provokasi antara parti berkenaan,” katanya.

PRN yang bermula hari ini melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

– BERNAMA

 


Pengarang :