SUBANG JAYA, 30 JULAI: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) merakam penghargaan kepada Halimey Abu Bakar dan Shatiri Mansor atas khidmat cemerlang sepanjang menjadi wakil rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas ahli dewan negeri Seri Setia dan Kota Damansara sebagai pemimpin berwibawa yang terus memberi sokongan kepada HARAPAN walau mereka tidak lagi bertanding.
“Mereka ini bagi bertanding setia, tak bertanding lagi setia. Mana mahu cari macam itu?
“Inilah yang dikatakan disiplin dalam perjuangan,” katanya berucap di hadapan kira-kira 1,000 orang pada ceramah Arus Merah Kuning di sini malam tadi.
Perdana menteri turut menjelaskan pertukaran calon di DUN Kota Damansara pada pilihan raya negeri (PRN) bagi memberi ruang kepada tokoh muda iaitu, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.
Kerusi DUN Seri Setia yang disandang Halimey pula digantikan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor Dr Fahmi Ngah.