Calon Pakatan Harapan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli menyantuni pengunjung Pasar Malam AU1 ketika program beramah mesra di Keramat Permai pada 31 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Baik pulih jalan di Keramat antara tumpuan Juwairiya jika jadi wakil rakyat

Oleh AZIAN AZIZ

HULU KELANG, 1 OGOS : Isu jalan di kawasan Keramat di sini antara yang akan diberi perhatian calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang sekiranya menang pilihan raya negeri.

Juwairiya Zulkifli berkata isu tersebut melibatkan keadaan jalan yang tidak memuaskan termasuk masalah tampalan di kawasan AU1 hingga AU5 ekoran projek penggantian paip bawah tanah Indah Water Konsortium (IWK) yang tidak selesai dan berlarutan lebih tujuh tahun.

Calon Pakatan Harapan DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli bercakap kepada wartawan sewaktu Temu Mesra bersama Media di Taman Melawati pada 31 Jualai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Projek di bawah Kerajaan Persekutuan dan DUN hanya boleh membantu menyuarakan perkara ini namun oleh kerana kami dan Kerajaan Persekutuan sekarang adalah sama, tugas saya untuk membantu sekiranya dipilih akan lebih mudah,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama HARAPAN di Taman Melawati, semalam.

Tambah Juwairiyah selain isu infrastruktur, perkara lain yang akan diberi fokus ialah pembangunan wanita dan anak muda.

Juwairiya berdepan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) pada pilihan raya negeri kali ini. Hari mengundi pula ditetapkan 12 Ogos ini.


Pengarang :