Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah bagi membantu rakyat kurang berkemampuan untuk membeli peralatan sukan pada harga diskaun di Pasar Raya AEON BiG Klang pada 1 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Inisiatif sukan Rahmah dilancar, tawar diskaun peralatan sukan hingga 30 peratus

KLANG, 1 OGOS: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah, iaitu program kesinambungan daripada inisiatif Payung Rahmah bagi membantu rakyat kurang berkemampuan untuk membeli peralatan sukan dengan harga diskaun, sekali gus menyokong aktiviti sukan dalam negara.

Beliau berkata inisiatif yang pertama kali dilancarkan Pasar Raya AEON Big di seluruh negara itu, menyediakan lebih 100 jenis peralatan dan pakaian sukan, dengan pembeli boleh menikmati diskaun antara 10 hingga 30 peratus, selama 10 minggu bermula hari ini hingga 14 Oktober 2023.

“Inisiatif Sukan Rahmah adalah untuk meneruskan legasi dan usaha allahyarham (Datuk Seri Salahuddin Ayub) yang berusaha memastikan tiada rakyat Malaysia tercicir, akibat isu kos sara hidup. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendokong usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), supaya usaha ‘Rahmah’ ini diteruskan.

“Kali ini kita nak kanak-kanak dan golongan B40 yang mahu bersukan, tetapi mungkin ada kekangan kewangan mendapatkan peralatan, mampu untuk beli dan sama-sama bersukan,” katanya ditemui selepas melancarkan inisiatif itu di Pasar Raya AEON BiG Klang, yang dihadiri Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Mengulas sama ada program berkenaan akan diperluas ke jenama pasar raya lain, Hannah percaya KPDN akan sentiasa berhubung dengan lebih ramai vendor, dan jenama Rahmah ini terbuka kepada siapa sahaja yang menyahut seruan kerajaan.

Hannah pada 24 Julai dilaporkan berkata bahawa inisiatif Rahmah yang dicetuskan oleh Allahyarham Salahuddin akan diperluaskan dalam industri sukan.

– BERNAMA


Pengarang :