Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Datuk Jahaya Ibrahim (kanan) ditemui media selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Coalfields, Jeram, Kuala Selangor pada 2 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB jamin selesai segera isu status sekolah Ladang Coalfields

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

KUALA SELANGOR, 2 OGOS: Isu status Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Coalfields yang mengakibatkan bil utiliti terlalu tinggi akan ditangani segera.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shaari memaklumkan perkara itu dipanjangkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi memastikan sekolah berkenaan tidak lagi terbeban.

“Kita akan menyemak semula dan menyelesaikan perkara tersebut memandangkan sekolah sepatutnya diletakkan bawah status institusi,” katanya selepas melawat sekolah terbabit hari ini.

Ketika ini, sekolah berkenaan diletakkan bawah status komersial setara aktiviti perniagaan, yang menyebabkan tarif utiliti dikenakan lebih tinggi berbanding institusi.

Dalam pada itu, Amirudin menambah Kerajaan Negeri juga bersedia membina padang bola atau padang sukan di sekolah berkenaan bagi memastikan murid memiliki kemudahan mencukupi.

Beliau turut mengambil maklum pertambahan murid dari semasa ke semasa, yang akan dipanjangkan ke Kementerian Pendidikan untuk menambah infrastruktur jika ada keperluan.

“Sekarang ada lebih kurang 170 murid dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat. Kesemua isu berbangkit ini kita akan pastikan pelaksanaannya selepas pilihan raya negeri,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta bagi menaik taraf infrastruktur 97 SJKT tahun lalu sejajar komitmen memberi keselesaan optimum kepada murid.


Pengarang :