Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Permatang Mohd Yahya Shari mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Media Pilihan Raya DUN Permatang, Kuala Selangor pada 2 Ogos 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pak Ya hasrat tubuh pusat perkasa wanita di DUN Permatang

TANJUNG KARANG, 2 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berhasrat menubuhkan Pusat Permata Wanita Permatang bagi memperkasa peranan golongan itu.

Mohd Yahya Sahri berkata cadangan itu berikutan DUN Permatang mempunyai kira-kira 30,000 wanita, melebihi separuh daripada keseluruhan populasi penduduk.

“Menyedari bahawa majoriti penduduk di Permatang adalah wanita, maka saya akan memberikan tumpuan dalam memperkasa wanita Permatang.

“Saya beriltizam untuk menjadikan wanita Permatang, wanita berjati diri, progresif dan berdikari,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Media Pilihan Raya DUN Permatang di sini, hari ini.

Mohd Yahya atau lebih mesra dipanggil Pak Ya berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada lima tekad untuk Permatang, yang dibentangkan sebagai manifesto pada Isnin lalu.

Menurutnya, Pusat Permata Wanita Permatang akan memberi penekanan terhadap tiga inisiatif utama iaitu program kecergasan, keusahawanan dan kumpulan sokongan.

“Di peringkat negeri kita ada Pusat Wanita Berdaya, manakala di peringkat Pusat ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Di Permatang, kita ada pusat wanita kita sendiri bagi mengupayakan golongan ibu-ibu di sini,” katanya.

Mohd Yahya bertanding dengan calon Perikatan Nasional Nurul Syazwani Noh dalam pertembungan satu lawan satu pada pilihan raya negeri yang berlangsung 12 Ogos ini.

Kerusi itu sebelum ini disandang Rozana Zainal Abidin dari HARAPAN dengan majoriti 1,158 undi.


Pengarang :