Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar mendekati orang ramai di kedai makan di Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat pada 2 Ogos 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM /SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Permintaan penduduk mahu masjid dipenuhi, bakal dibuka sebelum 31 Ogos

HULU LANGAT, 2 OGOS: Permintaan umat Islam di Bandar Teknologi Kajang di sini untuk memiliki masjid dipenuhi apabila projek pembinaan tempat ibadat itu siap dan dijangka boleh digunakan tidak lama lagi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal berkata masjid yang mula dibina sejak 2019 dengan kos RM12 juta itu masih dalam proses mendapatkan sijil penggunaan masjid dari Majlis Agama Islam Selangor.

Mazwan Johar menjangkakan masjid yang dibina atas tanah seluas tiga hektar dan mampu menampung 4,000 jemaah dijangka dibuka sepenuhnya sebelum 31 Ogos selepas kerja sambungan bekalan utiliti seperti air dan elektrik selesai.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal Mazwan Johar ditemui di pusat penamaan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat pada 29 Julai 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Sebelum ini, penduduk meminta sebuah masjid dibina di sini kerana mereka sudah lama duduk tetapi tidak ada masjid untuk beribadah. Jadi saya usahakan cari tapak kawasan masjid, sehingga pembinaan mula dilaksanakan hujung 2019 dan dijangka siap hujung 2021 tetapi tergendala disebabkan pandemik Covid-19.

“Sekarang, masjid berkenaan telah siap sepenuhnya dan hasil lawatan terakhir saya bersama Jabatan Kerja Raya baru-baru ini mendapati hanya berbaki kerja sambung bekalan elektrik dan air.” kata calon Pakatan Harapan DUN berkenaan ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Calon Pakatan Harapan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar bertemu orang ramai di program Jualan Ehsan Rahmah di Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat pada 2 Ogos 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM /SELANGORKINI

Sebelum ini, Mazwan yang mempertaruh rekod pencapaiannya dalam penggal lalu menyantuni rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu setempat yakin mampu mempertahan kerusi itu sekali lagi dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

Dalam pilihan raya umum ke-14, Mazwan meraih 24,591 undi menewaskan Nushi Mahfooz dari PAS dan Abdul Rahim Mohd Amin (Barisan Nasional).


Pengarang :