Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Sungai Ramal Mazwan Johar (kanan) meluangkan masa menziarah Muhammad Sam Manap, 47, yang kematian anak akibat kemalangan jalan raya di kediamannya di Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang pada 31 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon kerusi Sungai Ramal bekerja seperti ‘Superman’

Oleh Fhatihah Zakinan

KAJANG, 2 OGOS: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal disifatkan sebagai contoh wira rakyat yang pantas turun padang untuk memberi bantuan dan penyelesaian masalah.

Penduduk Bandar Baru Bangi, Muhammad Sam Manap, 47, yang mengusahakan ternakan keli kecil-kecilan melihat sendiri Mazwan Johar pantas bertindak sama ada secara langsung atau di media sosial apabila menerima makluman.

“YB (Yang Berhormat) banyak bantu orang seperti saya, tiada pekerjaan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dia beri modal untuk saya usahakan ternakan ikan keli dan sekarang hasil pulangan itu boleh bertahan untuk tampung kos sara hidup keluarga.

“Dia memang wakil rakyat yang buat kerja. Sepanjang pengetahuan saya, YB Mazwan macam kilat, Superman. Kita ada mata boleh tengok. Biasanya selepas terima aduan, orang lain datang esok atau lusa tapi dia (Mazwan), adu pagi ini, tengah hari mesti sampai,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Sam ditemui ketika Mazwan menziarahi keluarganya yang kematian anak pada Ahad akibat kemalangan motosikal di kediamannya di Flat Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini.

Bendera Pakatan Harapan (HARAPAN) berkibaran di jalan persiaran Bangi ketika tinjauan Selangorkini di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 31 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mazwan berkata beliau mengambil perhatian mengenai luahan Mohamad Sam yang mengusahakan ternakan ikan keli berhampiran flat berkenaan bagi membantu mendapatkan status kebun komuniti dalam kawasan.

“Dia minta bantuan saya untuk cari kerja, sekarang dia dah usahakan ternakan keli, dan ada simpanan, cuma nak menjadikan tempat itu sebagai kebun komuniti.

“Yang ini perlu mendapat permohonan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), jika saya berjaya kekal jawatan sebagai ADN pada pilihan raya ini, saya akan cuba bantu untuk naik taraf tempat itu,” katanya.

DUN Sungai Ramal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mazwan dan Mohd Shafie Ngah dari Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini.

Dalam pilihan raya lalu, Mazwan meraih 24,591 undi menewaskan dua calon lain iaitu Nushi Mahfodz dari PAS dan Abdul Rahim Mohd Amin dari Barisan Nasional (BN).


Pengarang :