Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan penyerahan geran kepada penerima ketika majlis Penyerahan Geran di Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 2 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penantian 24 tahun berakhir, 730 penduduk terima surat hak milik

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 2 OGOS: Selepas 24 tahun menanti akhirnya 730 penduduk Bandar Sungai Buaya menarik nafas lega selepas menerima geran hak milik individu daripada Kerajaan Negeri hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pemilik selepas sekian lama menanti selepas pemaju asal projek terbabit gulung tikar pada 2008.

Jelas beliau penyelesaian isu itu dicapai bukan usaha Kerajaan Negeri semata-mata tetapi melibatkan pemilik tanah, Murna Jaya Development Berhad (MJD Berhad) serta gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya.

“Ini adalah sebahagian contoh bagaimana fungsi kerajaan yang berjaya menyambung legasi dan bantu rakyat secara berterusan. Bagi kita apa yang penting adalah nasib dan hak rakyat dapat diselesaikan, bukan cari titik permasalahan dan putarkannya jadi isu politik yang tidak berkesudahan.

“Kita tak lihat permasalahan ini sebagai isu politik sebaliknya usaha cari jalan penyelesaian dengan bincang serta teliti dengan semua pihak biarpun kadang-kala ia makan masa agak panjang,” katanya pada majlis penyerahan geran di pejabat MJD Berhad di sini hari ini.

Seramai 730 penerima hadir ketika majlis Penyerahan Geran di Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 2 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata MJD Berhad diberi tanggungjawab menguruskan permohonan geran penduduk sehingga surat hak milik dapat diserahkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MJD Berhad Amirul Fahmi Ahmad berkata pihaknya memutuskan untuk menyelesaikan isu terbabit memandangkan syarikat itu merupakan pemilik tanah Bandar Sungai Buaya seluas 1,033 hektar.

“Kita bekerjasama dengan Pejabat Tanah Hulu Selangor, Jabatan Insolvensi, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Kerajaan Negeri untuk selesaikan isu ini.

“Kita langsaikan kira-kira RM18 juta cukai tertunggak kepada MPHS dan Jabatan Saliran dan Pengairan Selangor bagi memastikan seramai 3,580 pemilik dapat surat hak milik individu,” katanya.

Jelas Amirul, pihaknya turut menanggung bayaran RM8,000 bagi setiap rumah manakala pemilik hanya perlu membayar baki RM4,000. Tambahnya baki 2,850 pemilik akan menerima surat hak milik individu secara berperingkat.


Pengarang :