Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Untuk Rakyat Selangor di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penganalisis: Tawaran Kita Selangor realistik, mampu dilaksana dalam satu penggal

SHAH ALAM, 3 OGOS: Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor disifatkan sebagai realistik dan mampu dicapai berdasarkan kejayaan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) penggal lalu.

Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara turut yakin manifesto yang mengandungi lima kerangka utama dengan 53 tawaran itu lebih mudah dilaksana jika pentadbiran negeri dan pusat selari.

Pensyarah Kanan Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Mujibu Abd Muis. Foto Facebook Mujibu Abd Muis

“Kalau melihat ‘track record’ yang ada ini, saya tidak nampak ia mustahil untuk direalisasikan. Rekod terdahulu pun, Kerajaan Selangor adalah antara yang cemerlang.

“Bagaimana dia buat tawaran, pada masa sama tawaran itu adalah satu bentuk jaringan sosial, dengan manfaatnya diterima sejak dari budak lahir sampai mati. Jadi yang diumumkan (31 Julai) mungkin penawaran baharu, iaitu rancangan Amirudin (Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari) untuk membawa Selangor ke fasa kedua,” kata Mujibu Abd Muis seperti dilapor Berita Harian.

“Selama ini kemampuan Selangor membangun dari 2008 hingga 2018 memang tidak ada keselarian dengan kerajaan pusat. Ini satu kredit yang kita boleh beri kepada HARAPAN Selangor kerana kalau HARAPAN boleh hidup ketika itu, bayangkan pula ketika ini apabila Selangor dan kerajaan pusat sudah selari.”

Pada 31 Julai lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Tawaran Kita Selangor yang merangkumi banyak sektor penting bagi meneruskan kemajuan sedia ada.

Sebahagian kandungan yang terdiri daripada lima teras telahpun dimulakan pentadbiran Dato’ Menteri Besar itu manakala ada program termuat dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Pengurus Besar (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE) Khairul Ariffin Mohd Munir. Foto Facebook Khairul Ariffin

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pengurus besar (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE) pula melihat tawaran yang diumumkan Amirudin adalah menyeluruh dan bertepatan kehendak semasa rakyat.

Khairul Ariffin Mohd Munir berkata tawaran berkenaan turut mencakupi usaha menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang kini semakin menekan hidup rakyat.

“Berdasarkan tinjauan IDE, kami mendapati rakyat Selangor amat prihatin dan bimbang isu ekonomi, kos sara hidup dan harga barang, manakala anak muda pula terkait dengan peluang pekerjaan lebih luas. Maka, tawaran berkenaan nampaknya menjurus kepada yang dihasratkan rakyat kini.

“Tawaran itu dikemukakan secara holistik merangkumi sebahagian besar ekosistem masyarakat yang memerlukan. Berdasarkan ‘track record’ kerajaan HARAPAN Selangor dan Menteri Besar hingga hari ini, wujud usaha berterusan untuk membantu terkait dengan kos sara hidup menerusi Skim Hijrah Selangor, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor dan Blueprint. Bagi saya, ia membantu,” katanya.

Beliau menambah, insentif membantu anak muda pula hadir dengan tawaran peluang pekerjaan dan elaun latihan industri, namun ia boleh diperkukuh dengan mengembangkan lagi skim bantuan ‘mentoring’ dan penambahbaikan kemahiran mereka.


Pengarang :