Menteri Digital dan Komunikasi Fahmi Fadzil bersama Calon HARAPAN DUN N33 Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik bergambar pada Ceramah Umum Perpaduan di Tapak Blok E, Taman Medan Cahaya, Jalan PJS 2c/2, Taman Medan pada 03 OGOS 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Ahmad Akhir azam perkasa program TVET, lahir ramai tenaga kerja mahir

PETALING JAYA, 4 OGOS: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan berazam memperkasa program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk belia di kawasan itu jika mendapat mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

Ahmad Akhir Pawan Chik menyedari keperluan membangunkan program berkenaan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan berkemahiran pada masa depan.

Beliau menjelaskan banyak program berkait sektor itu akan didedahkan kepada golongan terbabit meliputi latihan bengkel, elektrik dan pemasangan solar.

“Ini (TVET) latihan yang penting untuk kita terus membina kehidupan anak-anak pada masa depan. Jadi saya harapkan program ini berjalan dengan baik.

“Saya percaya sekiranya ia mampu dilaksanakan akan memberi ruang kepada anak muda di kawasan ini untuk meneruskan kesinambungan hidup mereka,” katanya.

Calon HARAPAN DUN N33 Taman Medan Ahmad Akhir Pawan Chik menyampaikan ucapan pada Ceramah Umum Perpaduan di Tapak Blok E, Taman Medan Cahaya, Jalan PJS 2c/2, Taman Medan pada 03 OGOS 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Berucap pada ceramah umum perpaduan di Taman Medan Cahaya di sini malam tadi, bekas Ahli Majlis Zon 18 itu meminta rakyat membuat pilihan bijak pada PRN nanti berpandukan komitmen pentadbiran ini yang melaksanakan pelbagai inisiatif.

Memberi contoh Skim Insurans Am Selangor (Insan), beliau berkata enam juta rakyat negeri ini sudah didaftarkan secara automatik untuk mendapat perlindungan insurans.

“Itulah antara perkara yang dilakukan Kerajaan Selangor untuk membantu rakyat. Jadi mahu atau tidak program ini diteruskan? Kalau mahu, turunlah beramai-ramai pada 12 Ogos nanti (mengundi),” katanya.

DUN Taman Medan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Ahmad Akhir dan Dr Afif Bahardin yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Hari mengundi bagi PRN Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.


Pengarang :