Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Amirudin: PN gabungan rapuh, tikam menikam sesama parti

AMPANG, 4 OGOS: Gabungan Perikatan Nasional (PN) disifatkan rapuh dan tidak layak mentadbir negara berikutan pemimpinnya tiada pendirian tetap selain sering bertikam sesama sendiri.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu juga terbentuk hasil ahli yang kerap melompat parti demi kepentingan peribadi.

“Lawan kita (PN) pun ada cita-cita mahu buat gabungan besar. Mereka cuba buat tetapi tidak ikhlas. Mereka lompat dari Umno, Parti Keadilan Rakyat masuk ke parti lain dan gabung jadi Bersatu.

“Ketika dalam HARAPAN, mereka buat huru-hara. Gabung dengan Barisan Nasional, bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya. Mereka tikam parti sahabat lepas menang dan curi ahli parti lawan,” katanya.

Orang ramai bersorak ketika mendengar ceramah Jelajah Madani peringkat DUN Lembah Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang Jaya pada 3 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/ SELANGORKINI

Berucap dalam ceramah Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya malam tadi, Amirudin menggesa rakyat keluar mengundi pada 12 Ogos dan memilih calon bertanggungjawab.

“Saudara-saudari, negara kita perlukan permuafakatan dan perpaduan. Orang yang mahu pecah belah untuk kepentingan sendiri tidak layak memimpin negara mahupun Selangor,” tegas Dato’ Menteri Besar itu.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Amirudin berdepan saingan tiga penjuru melawan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal (Bebas) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Sebelum ini, pencalonan Pengerusi PN Pulau Pinang Datuk Dominic Lau di kerusi Bayan Lepas dibantah ahli Pas cawangan itu, yang turut mengugut untuk memboikot pencalonan serta PRN kali ini.

Pencalonan Dominic di kerusi itu juga mencetuskan tanda tanya apabila namanya tidak disebut sewaktu pengumuman rasmi calon PN Pulau Pinang, Khamis lalu.


Pengarang :