Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Dr Fahmi Ngah bergambar bersama penyokong kerajaan perpaduan pada ceramah ‘Arus Merah Kuning’ peringkat DUN Seri Setia di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dr Fahmi yakin pengalaman kerja dengan Anwar mudahkan pembangunan Seri Setia

PETALING JAYA, 6 OGOS: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yakin pengalaman sebagai bekas pekerja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini membantunya membangunkan kawasan itu ke arah yang lebih sejahtera.

Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata antara tiga tumpuan utama yang mahu diselesaikan di kawasan berkenaan termasuklah isu infrastruktur, keselamatan, sosial dan peluang pekerjaan buat anak muda.

Calon Pakatan Harapan DUN Seri Setia Dr Fahmi Ngah berucap dihadapan ratusan penduduk ketika ceramah ‘Arus Merah Kuning’ di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kelebihan saya sebelum ini pernah bekerja dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya bagi contoh sekiranya ada infrastruktur di Desa Mentari perlu diselesaikan dan saya tulis surat kepada kementerian atau majlis bandaraya.

“…kemudian surat itu saya ‘cc’ (dengan salinan) kepada menteri kewangan iaitu PM (perdana menteri) kita, Insya-Allah beliau akan baca dan permohonan disegerakan,” katanya dalam ceramah ‘Arus Merah Kuning’ peringkat DUN Seri Setia di Desa Mentari di sini malam tadi.

Sebahagian daripada ratusan penduduk yang menghadiri ceramah ‘Arus Merah Kuning’ peringkat DUN Seri Setia di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dr Mohammad Fahmi yang juga pengarah urusan Institut Penyelidikan Selangor turut berharap Kerajaan Negeri kelak dapat membentuk kerajaan perpaduan seperti di peringkat persekutuan supaya banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah.

“Nak selesaikan masalah infrastruktur sudah tentu kita perlukan dana, kalau Selangor sama dengan kerajaan persekutuan saya yakin permohonan dana menjadi mudah.

“Keupayaan Kerajaan Negeri sangat terhad jika kita kerjasama dengan persekutuan ia amat membantu malahan kita berpeluang mendapatkan limpahan ekonomi yang baik,” katanya.

Dr Mohammad Fahmi yang mewakili Pakatan Harapan bakal bersaingan dengan calon daripada Perikatan Nasional, Bebas dan MUDA dalam pilihan raya negeri 12 Ogos.


Pengarang :