KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kontinjen Malaysia merangkul gangsa keempat di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China, menerusi beregu badminton lelaki negara, Wong Tien Ci-Liew Xun, hari ini.
Tien Ci-Liew terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tewas di tangan pasangan tuan rumah, Ren Xiangyu-Tan Qiang, 13-21, 21-19, 14-21, pada saingan separuh akhir berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Shuangliu.
Menanti Xiangyu-Qiang dalam aksi final adalah rakan senegara, Zhou Hao Dong-He Ji Ting atau Po-Li Wei-Lee Fang-Chih dari Taiwan yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Selain empat gangsa, Malaysia setakat ini mengumpul satu emas, satu perak sekali gus berada di tempat ke-25 dalam carta pungutan pingat keseluruhan Universiade Chengdu.
Temasya sukan yang dibuka secara rasmi sejak 28 Julai lalu berakhir Selasa ini.
– BERNAMA