Petugas kesihatan mengambil sampel darah pengunjung program Selangor Saring sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Sri Perantau, Klang pada 18 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

TINJAUAN: Skim insurans, saringan percuma jamin kesihatan menyeluruh

SHAH ALAM, 7 OGOS: Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dan Selangor Saring antara dua program bawah Iltizam Selangor Sihat yang mendapat sambutan ramai sejak dilancarkan Kerajaan Negeri.

Inisiatif percuma itu menawarkan perlindungan insurans RM10,000 untuk kematian dan hilang keupayaan kekal akibat kemalangan, manakala saringan pula untuk pemeriksaan rawatan asas.

Berikut reaksi orang ramai mengenai program tersebut:

INSURANS

Mohd Shariff Sulaiman

Memang saya sokong usaha Kerajaan Selangor sediakan skim insurans percuma buat rakyat. Ia satu permulaan yang baik, insya-Allah nilainya mungkin boleh ditambah lagi pada masa akan datang.

Insurans sangat penting tetapi ramai tidak mampu sebab harganya mahal. Apabila adanya skim ini, mudah untuk rakyat terutama jika berlaku kemalangan.

Mohd Shariff Sulaiman, 68, pesara swasta

 

Skim ini sangat wajar diberi kepada rakyat sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kematian disebabkan kemalangan dan cacat kekal, benda-benda seperti ini tidak diduga.

Jadi Kerajaan Selangor ambil langkah berjaga-jaga untuk rakyatnya. Saya sangat menyokong usaha murni sebegini, rakyat pun tidak perlu risau terutama yang tidak berduit.

Zafran Zulkifli, 49, kaunselor

 

Hafiya Suen

Inisiatif ini sangat bagus sebab bukan mudah untuk kerajaan beri insurans percuma sebab kosnya mahal.

Tetapi Selangor ambil pendekatan sebegini. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan keperluan rakyat.

Hafiya Suen, 62, peniaga

 

Apa yang saya nampak Selangor satu-satunya negeri di Malaysia dan Asia Tenggara yang tawarkan perlindungan insurans am untuk rakyat jika hilang upaya kekal atau kematian akibat kemalangan.

Insentif ini sangat baik kerana ia antara bukti urus tadbir Kerajaan Negeri baik kerana hasil kekayaan yang sangat banyak dapat disalurkan semula untuk manfaat dan kebajikan rakyat.

Azhari Azizi, 26, mahasiswa

 

Quarol Hisham Rohmad

Setakat ini tiada lagi Kerajaan Negeri yang sediakan insurans kepada rakyatnya. Selangor memang terbaik dalam pelbagai aspek.

Semoga negeri lain juga boleh contohi Selangor. Program ini membuktikan Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap rakyatnya.

Quarol Hisham Rohmad, 52, jurujual

 

Bagus program insurans ini. Sekurang-kurangnya membantu rakyat yang tidak mampu memiliki insurans sendiri.

Saya sendiri sudah semak dan berdaftar. Saya harap skim ini juga boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ahmad Fardaus Abdullah, 50, pesara

 

P Saantha

Saya tiada insurans, jadi inisiatif ini sangat bagus. Sekurang-kurangnya saya tahu saya dilindungi oleh INSAN.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sudi sediakan skim insurans ini kepada rakyat seperti kami.

P Saantha, 36, suri rumah

 

Skim insurans yang diberikan Kerajaan Selangor memang hadiah terbaik kepada rakyat terutama kurang berkemampuan untuk mendapatkan perlindungan sebanyak RM10,000 sehingga 80 tahun. Memang terbaik, terima kasih Kerajaan Negeri.

Raja Arif Raja Badakozaman, 25, bekerja sendiri

 

Ng Oi Kheng

Saya paling suka INSAN kerana semua penduduk Selangor layak mendaftar. Sekurang-kurangnya kalau kemalangan dan mengalami kecacatan, ada bantuan segera yang boleh diterima.

Ini idea yang sangat baik untuk kawasan lain contohi kerana ada rakan yang iri hati nak jadi pengundi Selangor seperti kami.

Ng Oi Kheng, 58, suri rumah

 

Insurans merupakan satu komitmen dan melalui INSAN ini dapat membantu rakyat yang kurang berkemampuan untuk turut mendapatkan perlindungan jika perkara tidak diingini terjadi terhadap mereka atau ahli keluarga.

Pampasan yang diberikan boleh digunakan untuk menampung keperluan mendesak terutama jika yang kemalangan atau meninggal dunia itu ketua keluarga.

Aliah Suraya Shari Shawarudin, 34, kakitangan swasta

Idea menyediakan insuran hayat ini memang cemerlang dan wajar dicontohi negeri lain.

Tidak semua rakyat mampu memiliki dan membayar komitmen setiap bulan untuk insurans hayat, jadi kemudahan ini sangat diperlukan.

Mohamed Shahrul Nidzam, 39, kakitangan swasta

SELANGOR SARING

Saya ada pergi program ini mereka buat ujian kencing manis, tekanan darah dan pelbagai lagi.
Ia sangat bagus jadi saya boleh tahu jika ada penyakit dan boleh segera dapatkan rawatan.

Ng Oi Kheng, 58, suri rumah

 

Aliah Suraya Shari Shawarudin

Program ini membantu rakyat cakna kepentingan membuat saringan kesihatan. Jika buat di klinik swasta, sekurang-kurangnya perlu bayar RM100. Wang itu boleh digunakan untuk keperluan lain.

Aliah Suraya Shari Shawarudin, 34, kakitangan swasta

Saringan kesihatan bukan perkara mudah bagi semua orang, tidak semua yang berani buat saringan.

Tetapi apabila Kerajaan Selangor bagi secara percuma, secara tidak langsung galakkan rakyat buat saringan dan tidak perlu keluarkan sebarang modal.

Mohamed Shahrul Nidzam, 39, kakitangan swasta

 

Siti Aminah Bulat

Program Selangor Saring membantu golongan berpendapatan rendah untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma memandangkan khidmat di klinik swasta yang mahal.

Ia bantu orang ramai kesan penyakit yang dihidapi terutama penyakit kronik. Jadi, kita dapat tahu tahap kesihatan diri dan ambil tindakan sewajarnya lebih awal.

Siti Aminah Bulat, 60, suri rumah

Program Selangor Saring bantu rakyat lebih peka tahap kesihatan diri terutama mereka yang amal gaya hidup tidak sihat atau datang daripada keluarga yang hidap penyakit boleh diwarisi.

Raja Syazwani Asdayanty Raja Yunus, 31, juruterapi


Pengarang :